SEORANG lelaki ditemui meninggal dunia disyaki dibunuh di sebuah rumah papan di Taman Serdang Utama, Seri Kembangan, Selangor, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, AA Anbalagan, terdapat beberapa kesan tetakan pada kepala, rusuk kanan, belakang badan dan lengan mangsa yang berusia 43 tahun itu, melalui pemeriksaan awal.
Anbalagan berkata, polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.07 petang.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja di kedai perabot sejak 20 tahun lalu itu tinggal berseorangan menyewa di bilik rumah berkenaan sejak lima tahun lalu.
“Tempat kejadian rumah papan satu tingkat yang tidak berpagar. Dalam rumah itu, ada beberapa bilik yang disewakan menggunakan papan sebagai dinding. Tiada saksi kejadian dikesan setakat ini,” katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi pegawai penyiasat kanan, Rozairy di talian 011 1122 8545. – Malaysiapost

