Pulau Batu Puteh: PM ambil tindakan berani, siasat isu pengkhianatan negara

0
1

VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyifatkan penubuhan petugas khas menyemak semula undang-undang berkenaan isu Pulau Batu Puteh adalah tindakan berani Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, dalam pertemuan Umno Johor dengan Perdana Menteri pada 25 September lalu, pihaknya telah membangkitkan isu Pulau Batu Puteh yang disifatkan sebagai antara tiga kehilangan besar rakyat dan Johor khususnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Hari ini (semalam), terubat sedikit kehilangan Batu Puteh buat selama-lamanya ke Singapura.

“Ianya sedikit sahaja kerana kehilangan kedaulatan wilayah tidak boleh dimaafkan apabila permohonan semakan kita berasas kepada bukti baru yang kukuh,” katanya menerusi Facebook.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata, keputusan menarik balik semakan itu tentunya melibatkan pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara yang memberi taklimat kepada Tun Dr Mahathir yang ketika itu adalah Perdana Menteri.

“Ketika itu, Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali telah diarah untuk bercuti. Jemaah Menteri belum lagi dibentuk sepenuhnya kerana hanya ketua-ketua parti komponen dalam PH (Pakatan Harapan) yang telah diumumkan perlantikan mereka.

“Kalau keputusan Tun Mahathir dibuat tanpa nasihat Peguam Negara mahupun dengan pertimbangan Jemaah Menteri, adakah ianya keputusan yang tidak sahih?,” soalnya.

Shahrir berkata, isu Pulau Batu Puteh itu melibatkan kedaulatan dan wilayah negara.

“Tahniah Datuk Seri Ismail Sabri kerana berani menyiasat suatu tindakan yang boleh dianggapkan sebagai satu pengkhianatan terhadap negara,” katanya.

Semalam, Kabinet mengumumkan penubuhan sebuah pasukan petugas khas bagi tujuan semakan semula undang-undang berkenaan isu Pulau Batu Puteh.

Perdana Menteri berkata, pasukan petugas khas itu akan membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan yang bersesuaian, dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

Katanya, usaha itu bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pulau Batu Puteh. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here