‘Maklum kepada umum dapatan siasatan kes kematian Adib’ – Zahid

0
2

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu dapatan jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk menyiasat kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim diumum secara terbuka.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, berkata ia penting supaya rakyat dapat mengetahui tentang perkembangan kes tersebut.

Katanya, ini kerana kes kematian Muhammad Adib Mohd dalam insiden rusuhan pada 27 November 2018 telah menjadi suatu aspek kepentingan umum.

“Selepas hampir tiga tahun berlalu akhirnya sebuah jawatankuasa khas dibarisi tiga buah kementerian ditubuhkan bagi menyiasat kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

‘Ia merupakan kejayaan awal buat rakyat yang sejak sekian lama menuntut keadilan untuk Allahyarham dan mahu pihak yang menyebabkan kematiannya dibawa ke muka pengadilan,” katanya menerusi Facebook.

Justeru, beliau berharap tempoh enam bulan yang ditetapkan kerajaan untuk jawatankuasa khas itu memperoleh dapatan kes berkenaan dapat dipercepatkan.

“Kita menaruh keyakinan tinggi terhadap keupayaan jawatan khas yang turut dianggotai Peguam Negara merungkai kes berkenaan dengan segera.

“Rakyat telah menunggu begitu lama untuk mendapatkan komitmen yang jelas dan tegas oleh kerajaan dalam memastikan kes kematian anggota bomba itu terbela,” katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian Muhammad Adib.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata jawatankuasa khas itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet kelmarin.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya, jawatankuasa itu turut dianggotai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here