‘Umno itu satu sahaja, tidak ada lama atau baru’ – Zahid

0
1
zahid hamidi

“BAGI kami dalam pimpinan Umno tidak ada Umno lama dan tidak ada Umno baru, yang penting Umno itu satu saja,” kata Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian mengulas mengenai hasrat untuk menghidupkan semula ‘Umno Lama’ oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahmad Zahid yang menolak usaha berkenaan sebaliknya menyatakan hanya semangat perjuangan ‘Umno Lama’ yang perlu disuntik dalam parti sedia ada ketika ini.

Katanya, sekiranya negara mempunyai terlalu banyak parti politik, ia akhirnya akan menimbulkan kepelbagaian dan tidak ada satu parti dominan yang boleh menunjangi sistem demokrasi bagi membentuk kerajaan.

“Situasi itu boleh berlaku walaupun sebagai sebuah negara mengamalkan sistem demokrasi, seseorang bebas untuk menubuhkan parti politik atau pertubuhan.

“Bagi kami dalam pimpinan Umno tidak ada Umno lama dan tidak ada Umno baru, yang penting Umno itu satu saja dan kita mengambil perkiraan semua peringkat umur termasuk veteran. Jika ada perbezaan pendapat ia sering diraikan oleh kepimpinan.

“Saya tidak fikir perlunya semangat untuk menghidupkan parti yang sudah diharamkan dari segi perundangan pada 1988.

“Semangat (perjuangan yang ada dalam Umno lama) itu harus disuntik dalam Umno yang ada sekarang ini. Mari kita berpadu supaya dapat bergerak dalam satu landasan sama,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, perbezaan ideologi dan pegangan politik perlu diketepikan bagi mengelakkan landskap politik yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) daripada berulang.

Katanya, sekali gus ia juga mewujudkan kestabilan politik bagi memperkukuhkan ekonomi kerana rakyat sudah muak dengan perbezaan yang amat ketara dalam kalangan tokoh politik.

Semalam, media melaporkan, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li mengadakan mesyuarat dengan beberapa veteran Umno sebagai hasrat menghidupkan semula Umno Lama yang diisytiharkan tidak sah sebelum ini oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 1988.

Ku Li dipetik sebagai berkata, ini kerana pihaknya merasakan Umno yang baharu ini sudah hilang taring dan mungkin sukar menghadapi pilihan raya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here