PROGRAM Vaksinasi Orang Asli di seluruh negara sudah mencapai 67 peratus atau 115,516 orang, manakala 56,639 masih belum divaksinasi berdasarkan data terkini sehingga petang semalam.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata masih terdapat kira-kira 56,000 masyarakat Orang Asli yang masih belum menerima vaksinasi Covid-19 dan pihaknya kita sedang berusaha melaksanakannya.
“Salah satu yang kita buat di peringkat kementerian ini adalah kita buat melalui jangkau luar (outreach) iaitu kita yang pergi cari, melalui MARA.
“Kita ada bas MARA Liner, kita tukar bas itu jadi macam Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak,” katanya dalam sidang media selepas perasmian Hari Sukan Negara 2021 Peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), di Putrajaya, hari ini.
Mahdzir berkata, tumpuan program vaksinasi di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) adalah di negeri-negeri seperti Perak, Pahang dan Kelantan yang mempunyai bilangan Orang Asli yang ramai.
“Secara keseluruhannya, 172,155 Orang Asli layak divaksin. Ia membabitkan golongan dewasa seramai 144,180 orang dan 27,975 golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun,” katanya.
Beliau berkata, Program Vaksinasi Orang Asli ditetapkan mencapai 100 peratus pada akhir bulan November tahun ini.
“Insya-Allah kita akan teruskan program outreach ini untuk membolehkan kita dapat semua sekali,” katanya.
Ditanya mengenai adakah 56,639 Orang Asli yang belum divaksin itu menolak untuk divaksin, Mahdzir berkata masyarakat Orang Asli menerima baik Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Mereka belum dapat vaksin, bukan menolak, sebab nak sampai mereka ni tinggal jauh di pedalaman, jadi kita sedang usahakan.
“Pegawai JAKOA sedang berusaha untuk membuatnya, ada tempat yang nak pergi sehingga empat jam, ada yang terpaksa pergi dengan helikopter,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bekalan vaksin untuk keseluruhan Orang Asli yang layak menerimanya adalah mencukupi termasuk vaksin jenis Cansino yang digunakan untuk penerima dos tunggal di kawasan pedalaman yang sukar dimasuki. – Malaysiapost

