23.83 hektar kawasan di KL diwarta Hutan Simpan Kekal

0
1
takiyuddin

KERAJAAN mewartakan kawasan seluas 23.83 hektar di Mukim Petaling dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) baharu di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata pewartaan itu dilakukan menerusi siaran Warta Kerajaan Persekutuan P.U.(B) 495/2021 yang bertarikh semalam.

Dengan pewartaan itu, beliau berkata, HSK berkenaan dikenali sebagai Hutan Simpan (HS) Sungai Besi (Tambahan) bagi menggantikan kawasan HS Bukit Sungei dekat Mukim Cheras di ibu negara yang diwarta keluar untuk tujuan pembangunan lebuhraya.

“HSK ini diwartakan sebagai hutan perlindungan dan dikelaskan sebagai hutan penyelidikan, hutan lipur dan hutan pelajaran di bawah subseksyen 10 (1) dan diisytiharkan sebagai hutan tertutup di bawah seksyen 45 Akta 313.

“HSK di Wilayah Persekutuan terletak di bawah bidang kuasa menteri yang bertanggungjawab bagi perhutanan iaitu Menteri Tenaga dan Sumber Asli selaras dengan seksyen 2 dan seksyen 114 (Jadual Kelima) Akta 313 dan dibaca bersama Perintah Wilayah Persekutuan Putrajaya(Ubah Suaian Akta Perhutanan Negara 1984) 2017 [P.U.(A) 450/2017] dan Perintah Wilayah Persekutuan Labuan (Ubah Suaian Akta Perhutanan Negara 1984) 2017 [P.U.(A) 451/2017]. Pengurusan HSK di WP dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan (JPWP).

“Pewartaan HS Sungai Besi (Tambahan) yang merupakan jenis hutan dipterokarpa tanah pamah (low land dipterocarp forest) adalah untuk menggantikan kawasan HS Bukit Sungei Puteh, Mukim Cheras, WPKL seluas 7.48 hektar yang diwarta keluar bagi pembangunan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) melalui siaran Warta Kerajaan Persekutuan P.U.(B) 494/2021 pada tarikh yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengumuman itu dibuat sempena Program Penghijauan Malaysia yang berlangsung di Putrajaya hari ini.

Sebelum pewartaan ini, Takiyuddin menjelaskan HSK di Kuala Lumpur adalah seluas 68.27 hektar bersamaan 0.28 peratus daripada keluasan tanah meliputi HS Bukit Nanas seluas 9.37 hektar, HS Bukit Sungei Puteh (14.51 hektar), HS Sungai Besi (42.29 hektar) dan HS Bukit Lagong Tambahan (2.10 hektar).

Jelasnya lagi, keluasan HS Sungai Besi (Tambahan) yang diwartakan adalah lebih besar daripada HS Sungei Puteh yang diwarta keluar.

“Penggantian HSK secara serentak ini meningkatkan kawasan hutan di WPKL kepada 0.35 peratus daripada keluasan tanah WPKL.

“Pewartaan ini juga mewujudkan kompleks HS Sungai Besi-HS Sungai Besi (Tambahan) seluas 66.12 hektar mewakili 78.13 peratus daripada keseluruhan kawasan HSK di WPKL yang berperanan sebagai green lung bagi bandaraya Kuala Lumpur.

“Proses pewartaan keluar dan penggantian HSK secara serentak yang berlaku ini selaras dengan hasrat dan cadangan pindaan Akta 313 yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai manifestasi komitmen untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan tanah negara sebagai kawasan berhutan dan dilitupi pokok,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here