JPN bantu SPR kemaskini alamat pengundi sempena proses SPPA

0
1

PENGEMASKINIAN alamat pada MyKad sempena proses Semakan Pra-Pendaftaran Pemilih Automatik (SPPA) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini sedang dilaksanakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)

JPN dalam satu kenyataan media, memaklumkan jabatan itu sedang membantu SPR dalam proses pengemaskinian alamat pemilih lanjutan daripada pelaksanaan SPPA.

Menurutnya, ia adalah lanjutan daripada pengumuman SPR yang meminta pemilih-pemilih supaya mengemaskini alamat pada MyKad sekiranya mereka tidak tinggal di alamat yang dipaparkan.

“Bagi proses pengemaskinian alamat ini, pemohon boleh hadir ke mana-mana pejabat JPN yang berhampiran untuk memohon pertukaran alamat pada MyKad tanpa perlu membuat janji temu.

“Pemohon perlu membawa dokumen sokongan sebagai bukti alamat baharu seperti bil utiliti, cukai pintu, cukai taksiran atau borang taksiran cukai pendapatan,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPN, pemohon juga boleh menggunakan perjanjian jual beli rumah, perjanjian atau resit sewa rumah sekiranya bil utiliti tidak didaftarkan atas nama pemohon dan dokumen itu perlu dibawa dalam bentuk asal atau salinan yang diakui sah.

“Bagi pemohon yang tidak mempunyai kedua-dua dokumen yang dinyatakan di atas mereka perlu mendapatkan dokumen sokongan dari Ketua Kampung, Tuai Rumah dan Penghulu.

“Dokumen sokongan juga boleh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen, majikan atau dokumen lain yang boleh membuktikan alamat terkini mereka,” katanya.

Menurut JPN, sebarang maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat, JPN di talian 03-88807077 atau emel ke [email protected]. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here