KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan menggubal sebuah Pelan Tindakan Industri Sukan Negara (PTIS) bertujuan menjadikan sukan sebagai sumber baharu dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara seiring perkembangan di peringkat global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelan yang bersifat komprehensif dan kompetitif itu dibentuk setelah mengambil kira analisis berasaskan data ekonomi dunia.
“Pelan yang bersifat komprehensif dan kompetitif dibentuk setelah mengambil kira analisis berasaskan data ekonomi dunia yang menunjukkan nilai pasaran global sukan mencecah hampir US$388.3 bilion pada 2020 dan dijangka terus positif berkembang dan mencecah US$599.0 bilion dollar 2025.
“Data yang diperolehi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (atau MITI) pada 2020 pula menunjukkan seramai 32.7 juta rakyat Malaysia telah membelanjakan RM430 juta bagi tujuan sukan dan riadah,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Hari Sukan Negara 2021.
Dalam majlis sama, Perdana Menteri turut mengumumkan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan bagi memperkasa penglibatan dan penyertaan wanita dalam pelbagai bidang sukan.
Ismail Sabri berkata, program itu merupakan satu dokumen komprehensif yang menggariskan objektif, strategi dan inisiatif yang terancang ke arah memperkasa penglibatan wanita dalam usaha menjadikan pembangunan sukan negara yang lebih inklusif dan seimbang.
Beliau berkata, pelan tindakan ini adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara dan Akta Pembangunan Sukan 1997 serta dasar dan perundangan di peringkat antarabangsa.
“Seperti Olympic Charter, Olympic Agenda 2020, Kazan Action Plan dan The Convention on the Elimination of all Forms of Discrimination Against Women (atau CEDAW),” katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk menjayakan pelaksanaan pelan itu yang mengandungi lima teras, lapan objektif, 19 strategi dan 45 inisiatif.
Katanya, susulan itu juga, Jawatankuasa Wanita Dalam Sukan telah ditubuhkan bagi merancang dan memantau pelaksanaan pelan tindakan ini.
“Pelan ini disasarkan mampu meningkatkan penglibatan keseluruhan wanita dalam aktiviti sukan, kepimpinan dalam badan sukan dan penyertaan dalam kejurulatihan dan kepegawaian sukan,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut melancarkan Program Talent Identification and Development yang dinamakan Program MyTID KPM-KBS melalui kerjasama rentas kementerian di antara KBS dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Program itu penting untuk membangunkan bakat-bakat sukan bagi melahirkan juara di temasya sukan antarabangsa,
“Ia dianggarkan melibatkan seramai 500 orang guru tenaga penguji terlatih (dikenali sebagai Talent Eagle) serta sasaran penyertaan seramai 60,000 orang murid dari sekolah rendah (Tahun 1-6) yang melibatkan semua Pejabat Pendidikan Daerah mengikut zon.
“Program ini dijangka akan membantu memperluaskan penyertaan bakat-bakat baharu (talent pool) seawal usia 7 tahun yang berpotensi di peringkat akar umbi untuk dikenal pasti dengan lebih awal dan mengurangkan risiko keciciran bakat,” katanya.
Justeru, katanya, ketiga-tiga usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada hala tuju perancangan dan pembangunan sukan yang sedang dibentuk oleh KBS melalui Visi Sukan Negara 2030.
“Temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 telah memberi impak yang sangat membanggakan negara.
“Pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 misalnya, kita berjaya menggondol pingat gangsa dan perak. Pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pula, sejumlah lima pingat diperolehi, tiga daripadanya adalah pingat emas,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri turut memberikan penghormatan kepada atlet yang mengharumkan nama negara dalam temasya berkenaan termasuk Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Aaron Chia, Soh Wooi Yik.
Selain atlet para negara, Bonnie Bunyau Gustin, Cheah Liek Hou. Abdul Latif Romly, Chew Wei Lun dan Jong Yee Khie. – Malaysiapost

