RATU terjun negara, Pandelela Rinong, dianugerahkan darjah Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang membawa gelaran ‘Datuk’ sempena ulang tahun kelahiran ke-85 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, hari ini.
Pemenang pingat perak dan gangsa temasya sukan Olimpik berusia 28 itu antara 1,326 penerima darjah kebesaran dan pingat.
Berita gembira itu turut dikongsi oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan yang bangga dengan pencapaian atlet berkenaan.
“Sesuai dengan Sambutan Hari Sukan Negara tahun ini, atlet Olimpik paling menawan negara @Pandelela_R akhirnya dianugerahkan darjah daripada negeri kelahirannya Sarawak.
“Tahniah Dato’ Pandelela!” ucapnya dalam satu ciapan di Twitter, hari ini.
Ruangan komen laman Twitter penerjun negara yang memenangi pingat gangsa di Olimpik London 2012 dan perak di Olimpik Rio de Janeiro itu turut dipenuhi ucapan tahniah ke atas anugerah diterimanya.
Sementara itu, memetik laporan Harian Metro, mendahului senarai penerima darjah kebesaran ialah bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abang Ahmad Urai Abang Mohideen yang menerima darjah Datuk Amar Bintang Kenyalang (D A).
Turut menerima darjah yang sama, bekas anggota kabinet pertama Sarawak selepas pembentukan Malaysia pada 1963, Allahyarham Datuk Seri Pengiran Hipni Pengiran Annu.
Enam lagi menerima darjah Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’ antaranya Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri. – Malaysiapost

