HANYA tinggal 0.6 peratus sahaja lagi bagi negara mencapai sasaran 90 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi, sekaligus membolehkan aktiviti rentas negeri dibenarkan kembali.
Berdasarkan data yang dikongsi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Adham Baba dilaman Twitternya, hari ini seramai 20,927,867 individu atau 89.4 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi menerima Covid-19 setakat semalam.
Seramai 22,166,911 individu atau 94.7 peratus populasi dewasa pula telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Jumlah kumulatif pemberian dos vaksin bagi populasi keseluruhan kini adalah seramai 21,104,896 individu atau 64.6 peratus lengkap vaksinasi, manakala 74.6 peratus atau 24,384,831 individu menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Secara keseluruhan jumlah dos vaksin diberikan termasuk vaksin dos tunggal dan dua dos adalah 45,379,299 dos dengan 174,820 dos diberikan semalam, membabitkan 74,199 dos satu daripada vaksin dua dos dan 100,621 dos lengkap.
Selain itu, seramai 177,029 atau 5.6 peratus populasi remaja telah melengkapkan suntikan vaksin setakat semalam.
Pada 22 September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti merentas negeri akan dibenarkan apabila 90 peratus golongan dewasa sudah melengkapkan vaksinasi Covid-19 mereka. – Malaysiapost

