Polis siasat Ustaz Syakir Nasoha

0
1

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan berhubung klip video tular mengandungi kenyataan berbaur penghinaan agama dan kaum oleh seorang penceramah bebas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata video berdurasi seminit itu tular di aplikasi media sosial seperti Tik Tok, Facebook dan WhatsApp sejak beberapa hari lalu yang mengundang kemarahan orang ramai.

Menurutnya, siasatan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5 JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan, kerana dengan niat hendak mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum lain.

“Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu penyalahgunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Siasatan masih diteruskan dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya cakna dan prihatin terhadap isu-isu menyentuh sensitiviti agama serta kaum, selain menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakannya sehingga menggugat keharmonian negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya.

Terdahulu, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap seorang penceramah tempatan, Ustaz Mohd Syakir Nasoha, yang didakwa menghina penganut agama Hindu dan Buddha, serta orang Dayak, dalam ceramahnya.

Laporan itu dibuat kerana mendakwa penceramah terbabit mengatakan “orang kafir” akan menyerang orang Islam.

Sementara itu, Syakir Nasoha, yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, dilaporkan menjelaskan ceramah asalnya dipotong dan ditular sehingga menyebabkan orang bukan Islam tersalah faham apa yang dimaksudkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here