Noor Effandi bukan lagi ahli Bersatu – Hamzah

0
1
Datuk Seri Hamzah Zainudin

KEAHLIAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dalam Bersatu gugur secara serta-merta mengikut Perlembagaan parti berkenaan susulan tindakannya menarik sokongan kepada kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata keputusan itu adalah berdasarkan Fasal 10 Perlembagaan Bersatu dan ketetapannya akan disahkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu akan datang.

Menurutnya, Biro Politik Bersatu yang bermesyuarat semalam turut membincangkan perkembangan poliitik terkini di Melaka dan melahirkan rasa kecewa dengan tindakan empat ADUN yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka sehingga terbubar DUN ketika rakyat masih berdepan Covid-19.

“Kemelut politik ini berpunca daripada masalah dalaman parti politik tertentu dan ianya bertambah parah apabila terdapat pihak yang mengambil kesempatan tanpa memikirkan Kebajikan Rakyat serta kepentingan negara yang masih di peringkat awal pemulihan.

“Biro Politik Bersatu berpendirian kemelut politik di Melaka perlu diselesaikan mengikut lunas Perlembagaan Negeri Melaka dan Perlembagaan Persekutuan dengan mengambil kira kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Selasa lalu, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Ke-14.

Pembubaran DUN itu, susulan sidang media empat ADUN kerajaan pada Isnin lalu yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, sekaligus menyebabkan kerajaan negeri hilang majoriti dan tumbang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here