Peranti perubatan tidak berdaftar bernilai lebih RM1 juta dirampas

0
1

SEBUAH syarikat yang menjual peranti perubatan tidak berdaftar diserbu Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semalam yang turut merampas produk tidak berdaftar bernilai lebih RM1 juta.

Ketua Eksekutif MDA, Ahmad Shariff Hambali, berkata serbuan dijalankan oleh 18 pegawai penguatkuasa MDA hasil daripada risikan terperinci dan aduan orang awam ke atas sebuah syarikat di Shah Alam.

“Peranti-peranti yang telah dirampas adalah seperti ‘medical face mask’, oximeter dan kit ujian kendiri Covid-19.

“Modus operandi mereka adalah menjual peranti-peranti tersebut melalui platform dalam talian atau e-dagang dan membekal peranti tersebut kepada syarikat-syarikat pengedar yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, syarikat terbabit didapati telah melanggar seksyen 5 (1), Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737), iaitu meletakkan peranti perubatan yang tidak berdaftar di bawah Akta 737 dalam pasaran.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mengikut seksyen 5 (2), Akta 737 iaitu denda tidak melebihi RM 200,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau mengalakkan orang ramai untuk menyemak status pendaftaran sesuatu peranti melalui laman sesawang mdar.mda.gov.my.

“Sebarang aduan berkaitan produk tidak berdaftar boleh disalurkan kepada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan, KKM melalui Sistem Pengurusan Maklumbalas MDA (MDAFEMES) di alamat femes.mda.gov.my.

“Ini bagi membolehkan tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan peranti perubatan yang tidak berdaftar di pasaran,” katanya. – Malaysiapost.

Kredit Foto: MDA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here