“JANGAN bimbang, saya tak akan lari daripada berbicara atau berdebat dengan YB (Yang Berhormat),” kata Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berhubung isu dasar kabotaj.
Ka Siong yang juga Menteri Pengangkutan, berkata beliau tidak takut dan meminta Guan Eng bersabar kerana Dasar Kabotaj akan dibahaskan di Parlimen bulan ini.
“Nak berdebat? Bersabarlah sikit. Kan saya dah kata di Dewan Rakyat pada 22 September 2021 bahawa dasar kabotaj ini akan dibincangkan di Kabinet pada bulan ini.
“Apabila Kabinet membuat keputusan kelak, pejabat saya akan hubungi serta berbincang dengan penerbit stesen TV untuk mengatur tarikh dan masa sesuai untuk program bicara atau debat dalam Bahasa Malaysia yang akan disiarkan secara langsung di TV (harap ada stesen TV yang sudi).
“Saya akan memberi cadangan tarikh, tentatif dan biarlah YB Lim Guan Eng memilih tarikh sesuai untuk berbicara atau berdebat secara profesional (bukan provisional ya),” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Ka Siong berkata, sebelum ini beliau mengajak Ahli Parlimen Bagan itu untuk berdebat tetapi menerima banyak helah daripada pihak Guan Eng.
Katanya, pelawaan berdebat pada kali pertama ditolak dengan alasan tidak sama taraf kerana ketika itu Guan Eng adalah Setiausaha Agung DAP manakala beliau Timbalan Presiden MCA.
“Kali kedua Guan Eng tidak berani berdebat dengan saya pada tahun 2019 di mana beliau selaku Menteri Kewangan ketika itu telah menggugurkan peruntukan geran padanan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC),” katanya.
Pada 30 September lalu, Ka Siong mencabar Setiausaha Agung DAP itu untuk berdebat berhubung isu dasar kabotaj negara.
Cabaran itu dibuat secara terbuka susulan Guan Eng tidak berpuas hati dengan penjelasan yang dibuatnya berhubung isu itu di Dewan Rakyat. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/Wee Ka Siong

