MUAFAKAT Nasional (MN) Selangor bersetuju memperkasa dan mengukuhkan lagi hubungan antara Umno dan PAS demi membuat persediaan bagi mengambil alih kerajaan Negeri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menerusi kenyataan bersama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, MN Selangor memaklumkan aktiviti dan program atas nama MN akan terus dirancakkan bagi mengukuhkan hubungan kedua-dua parti di negeri itu.
“Untuk memastikan nasib dan mas adepan rakyat lebih baik, terbela dan sejahtera MN Selangor akan bergerak aktif turun ke lapangan bagi bertemu rakyat untuk meyakinkan mereka agar melakukan perubahan pada PRU ke 15 nanti,” katanya.
Menurutnya, untuk itu MN Selangor menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri.
Dalam masa sama, katanya, MN Selangor akan berkerja keras bagi memastikan agenda ‘Keluarga Malaysia’ yang dicetuskan oleh Perdana Menteri itu akan diterima baik rakyat negeri itu khususnya dengan harapan ianya juga akan turut terlaksana di negeri itu. – Malaysiapost

