PH dakwa Ali Rustam terburu-buru bubar DUN Melaka

0
1

PAKATAN Harapan (PH) mendakwa, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, bertindak terburu-buru dalam membuat keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, berkata sepatutnya Mohd Ali mendengar pandangan daripada majoriti ADUN serta empat yang tidak menyokong kerajaan, sebelum membuat sebarang pertimbangan mengenai perkara itu.

“PH negeri berpandangan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, sudah tidak lagi mempunyai kepercayaan majoriti dan tidak wajar menasihati Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14.

“TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka juga sewajarnya tidak bertindak terburu-buru membubarkan DUN sebelum mendengar pandangan majoriti ADUN yang tidak lagi bersama dengan pihak kerajaan,” katanya pada sidang medianya, hari ini.

Adly Zahari juga memberi contoh ketika kerajaan PH Melaka tumbang tahun lalu, di mana beliau terpaksa meletakkan jawatan dan pentadbiran kerajaan negeri telah diserahkan kepada Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri untuk diuruskan buat sementara.

“Mengambil kira apa yang berlaku pada Mac 2020, apabila saya hilang kepercayaan sebagai Ketua Menteri Melaka, tugas pentadbiran kerajaan negeri telah dipertanggungjawabkan kepada Setiausaha kerajaan negeri sehingga Ketua Menteri baharu dilantik.

“PH Melaka berpandangan kepada apa yang berlaku mempamerkan bahawa norma-norma biasa tidak dilaksanakan oleh pentadbiran tertinggi dalam kerajaan negeri menangani krisis yang berlaku pada kali ini.

“Oleh itu, PH akan merujuk perkara ini ke mahkamah bagi menentukan keabsahan care taker government seperti yang dikatakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Isma Web

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here