Umno Melaka sedia kerjasama PN, MN hadapi PRN

0
1
grafik

UMNO Melaka menyatakan kesediaan dan mengalu-alukan kerjasama Perikatan Nasional dan parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, bagaimanapun pandangan dan cadangan itu akan diperhalusi oleh kepimpinan tertinggi Umno.

Katanya, Umno Melaka mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dengan parti itu termasuk Muafakat Nasional (MN).

“Tetapi keputusan parti akan memuktamadkan segala cadangan Perhubungan Umno Negeri, sudah pasti faktor-faktor negeri harus diambil kira bagi memastikan kemenangan PRN akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai calon-calon, Ab Rauf berkata, ia akan dicadangkan peringkat Bahagian Umno sebelum diperhalusi peringkat tertinggi negeri dan Pusat.

Menurutnya, calon-calon ini kebiasaannya akan dicadangkan peringkat bahagian untuk diletakkan calon DUN yang dipertandingkan.

“Tetapi kelaziman Ibu Pejabat Umno akan buat saringan terhadap nama calon dihantar, kemudian diperhalusi dan dipertimbang menjadi calon.

“Kita akan bincang peringkat bahagian, nama calon dikemukakan bagi kita dapat menilai dan diberikan pertimbangan dalam semua sudut,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad berkata, parti itu akan memperhalusi kebenaran kerjasama dengan parti lain dalam menghadapi PRN Melaka.

Beliau berkata, kepimpinan negeri boleh mengusulkan hal itu jika ada keperluan, sebelum ia dimuktamadkan kepimpinan Barisan Nasional (BN) Pusat.

“Kita belum putuskan lagi sama ada nak bekerjasama dengan siapa. Tetapi yang penting kita mestilah bersiap sedia menyiapkan jentera parti.

“Kemungkinan macam-macam. Jangan kita harapkan kekuatan dari luar untuk membantu kita menang. Mesti membina kekuatan dalaman kita sendiri,” katanya.

Semalam, Perikatan Nasional (PN) Melaka menyatakan kesediaan berunding dengan Umno bagi mengelakkan pertembungan kerusi pada PRN.

Pengerusinya, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dilaporkan berkata, rundingan di antara Bersatu, Umno dan PAS penting bagi memastikan tiada pertandingan tiga penjuru ketika berdepan dengan calon Pakatan Harapan (PH). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here