Nak bergambar saja, bukan digari

0
1

POLIS Kelantan mengesahkan hantaran tular di Facebook mengenai dua beradik Orang Asli dari Kampung Rumlak, Kuala Betis, Gua Musang digari, tidak benar.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pemilik Facebook bernama Nasir Nash itu menyatakan dua beradik Orang Asli telah ditangkap angkara mempertahankan kawasan mereka daripada penceroboh syarikat pembalakan.

“Namun saya mengesahkan kenyataan tersebut adalah tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Shafien, polis telah mengadakan perjumpaan bersama wakil penduduk Orang Asli Kampung Rumlak semalam berkaitan halangan di kawasan pembalakan.

Katanya, tujuan perjumpaan tersebut bagi mengenal pasti punca permasalahan serta memberi nasihat dari segi keselamatan bagi mengelak insiden tidak diingini.

“Justeru, semasa polis membuat rondaan di kawasan pembalakan berkenaan, dua individu tersebut meminta untuk bergambar bersama kenderaan polis sebagai kenangan dan untuk simpanan peribadi mereka.

“Bagaimanapun, gambar tersebut telah disalah ertikan dan ditularkan di platform media sosial,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis hari ini berkenaan penafian berkaitan perkara tersebut.

“Satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 SKMM,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here