SEKRETARIAT Gabungan Bas Malaysia (SGMB) memohon maklum balas lima kementerian bagi menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan mereka sebelum ini, berkaitan industri bas dan pelancongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Pengerusinya, R Thiagarajan berkata isu-isu terbabit diusulkan kepada lima kementerian tersebut sejak awal tahun lalu namun tiada respon atau penjelasan daripada pihak berkenaan.
Justeru, beliau meluahkan rasa kesal terhadap sikap ‘berdiam diri’ kementerian terbabit, menyebabkan masalah pengusaha bas dan pelancongan masih tidak nampak jalan penyelesaian.
“Isu dibangkitkan kepada Kementerian Kewangan berkenaan Skim Rehabilitasi Bas dan Teksi, yang diperkenalkan bagi membantu pengusaha bermasalah dengan isu syarikat pinjaman kredit, namun ia tidak konsisten di mana kaedah penyelarasan dan pelaksanaan skim tersebut tidak menyeluruh dan tidak mesra SME.
“Skim yang diperkenalkan harus mesra SME berbanding hanya berpihak pada syarikat-syarikat yang besar sahaja,” katanya dalam sidang media hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, pihaknya juga membangkitkan isu kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) berkenaan penangguhan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi kenderaan perdagangan terutamanya bas sekolah.
Katanya, ia harus diberi kelonggaran sehingga pengoperasian sesi sekolah penuh di mana pengusaha bas sekolah masih tidak mampu mengeluarkan kos penyediaan tersebut akibat hilangan sumber pendapatan.
“MOT juga harus menangguhkan sebarang pengenaan kompaun ke atas kelewatan pemeriksaan secara automatik,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, isu dibangkitkan dengan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) pula berkenaan kewajiban agensi pelancongan menjadi keahlian MATTA, MITA dan seangkatannya.
“Ia perlu dimansuhkan di mana syarat keahlian tersebut tidak lagi boleh digunapakai sebagai satu syarat wajib bagi pengusaha agensi pelancongan dalam memperbaharui Lesen Pengendalian Pelancongan dan Agensi Pengembaraan (TOBTAB).
“Malah syarat itu perlu ditukar dengan mewajibkan caruman Perkeso untuk pekerja-pekerja syarikat termasuk pemandu bas.
“MOTAC juga perlu mengemaskini berkenaan syarikat yang berdaftar di mana perlu memastikan syarikat tersebut benar-benar aktif menjalankan perniagaan dan bukan sekadar wayang bagi mendapatkan permit bas persiaran dan disewakan pada pihak lain,” katanya.
Thiagarajan berkata, bagi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) pula berkaitan memudahkan pinjaman institusi perbankan.
“MEDAC perlu cari satu penyelesaian alternatif dalam membantu pengusaha bas yang terkesan semasa pandemik ini, pengusaha SME dan enterprises mengalami kesukaran dalam membuat sebarang pinjaman tersebut,” katanya.
Tambahnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga diminta mengkaji semula pelaksanaan perintah langkah-langkah sementara bagi mengurangkan kesan penyakit Koronavirus 2019 (Akta 829).
“Ia perlu memanjangkan tempoh kuat kuasa perlindungan bagi ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontraktual yang berakhir 31 Disember 2021,” katanya. – Malaysiapost

