SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima kakitangan sebuah hospital kerana disyaki meminta dan menerima wang suapan daripada ejen sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah di hospital berkenaan.
Menurut sumber, kegiatan berkenaan dipercayai dilakukan sejak 2019 hingga tahun ini membabitkan jumlah suapan lebih RM20,000, lapor Berita Harian.
Difahamkan, semua suspek berusia antara 34 hingga 44 tahun itu ditahan sekitar jam 3 petang tadi di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan itu tetapi enggan mengulas lanjut.
Katanya, semua suspek disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk permohonan reman. – Malaysiapost

