Nurul Huda Abhar
PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyatakan beliau tidak boleh membuat sebarang spekulasi sekiranya krisis politik di negeri Melaka turut akan berlaku di Putrajaya.
Beliau berkata, tiada jangkaan yang dapat dibuat kerana semua boleh berlaku dalam politik.
Bagaimanapun, katanya, beliau berharap situasi politik di peringkat pusat akan terus stabil susulan jalinan memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik kerajaan dengan pihak pembangkang.
“Kita harap keadaan sekarang stabil. Selepas MoU ditandatangani antara kerajaan dan pembangkang, politik stabil. Bukan sahaja stabil dalam Parlimen, negera juga tenang, rakyat juga tenang. Tidak berlaku politiking melampau seperti dahulu.
“Sekarang kita lihat semua (ahli politik) menumpukan kepada pembangunan, soal ekonomi tidak kira kerajaan atau pembangkang, dan di Parlimen kerjasama itu dilihat baik,” katanya selepas pelancaran Majlis Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan pemberita mengenai adakah kemelut politik yang berlaku di Melaka turut akan ‘berjangkit’ di peringkat pusat.
Terdahulu, ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron mengumumkan beliau bersama tiga lagi wakil rakyat hilang kepercayaan kepada kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan kerajaan negeri.
Selain Idris, tiga Adun yang terlibat ialah Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu); Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Noor Azman Hassan (Pantai Kundor). – Malaysiapost

