[PARLIMEN] KERAJAAN komited memastikan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dilaksanakan mengikut jadual dan dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat secepat mungkin, kata Datuk Seri Wee Ka Siong.
Menteri Pengangkutan itu memberitahu Dewan Rakyat, komitmen itu dibuktikan apabila sehingga 31 Ogos lalu, pembinaan keseluruhan projek itu telah mencapai kemajuan sebenar sebanyak 23.96 peratus.
Beliau menjelaskan, hanya 1.04 peratus kelewatan dari jadual sebenar yang berpunca daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ka Siong berkata, bagi Seksyen A iaitu dari Kota Bharu, Kelantan ke Dungun, Terengganu, skim kereta api telah diluluskan pada 14 Mei 2020 merangkumi pembinaan enam stesen iaitu Kota Bharu, Pasir Putih, Jerteh, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu dan Dungun.
“Sehingga 31 Ogos lalu, kemajuan kerja fizikal mencapai 11.59 peratus berbanding jadual 12.01 peratus. Kerja fizikal juga giat dilaksanakan di Seksyen B iaitu jajaran dari Dungun ke Temerloh.
“Sejak disambung semula pada Julai 2019, kemajuan kerja fizikal di seksyen ini mencapai 28.04 peratus berbanding jadual 26.90 peratus merangkumi kerja tanah dan pembinaan terowong di Dungun, Paka dan Kuantan.
“Kerja awalan bagi pembinaan terowong di Gambang, Sri Jaya, Gedung Siam dan Paya Pasir juga giat dijalankan,” katanya hari ini.
Ka Siong menambah, bagi Seksyen C iaitu Temerloh ke Pelabuhan Klang, kerajaan mengkaji jajaran terbaik bagi memastikan ECRL memberi impak ekonomi maksimum kepada rakyat seperti diumumkan pada 5 April lalu.
“Penting ECRL dipastikan tersambung secara strategik dengan jaringan logistik rel kebangsaan termasuk kelebihan logistik yang akan dicapai tanpa mengurangkan kualiti perkhidmatan penumpang, menjadikan ECRL sebagai pemangkin ekonomi.
“Dalam hal ini, cadangan penjajaran balik kepada jajaran utara asal iaitu Temerloh-Gombak-Serendah dan dilanjutkan ke Pelabuhan Klang telah dipertimbang Jemaah Menteri pada 21 Ogos 2020 dan Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara 13 Ogos 2020 serta diluluskan secara prinsip 21 Ogos 2020 dan 2 September 2020.
“Susulan kelulusan itu, Kementerian Pengangkutan mengadakan lebih 37 sesi libat urus melibatkan 17 jabatan dan agensi kerajaan Selangor serta 12 jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan,” katanya. – Malaysiapost

