PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2021 bertujuan meningkatkan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan pelbagai pihak terhadap bencana khususnya bagi menghadapi musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut (MTL).
Penganjuran BKN tersebut selaras dengan sambutan International Disaster Day yang disambut pada 13 Oktober.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, bertemakan ‘Keluarga Malaysia Siaga Bencana’, kesiapsiagaan bencana adalah bermula dari rumah dan menjadi tanggungjawab setiap individu kerana semua orang mempunyai risiko terhadap potensi bencana.
“Budaya kesiapsiagaan dalam kalangan rakyat perlu melibatkan kerjasama bersepadu semua agensi kerajaan bermula dari peringkat pusat, negeri dan daerah serta pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk orang perseorangan.
“Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030 (Sendai Framework) menekankan bahawa pengurangan risiko bencana merupakan tanggungjawab yang perlu dikongsi bersama, membudayakan latihan secara bersepadu, terencana dan berkesinambungan,” katanya dalam kenyataan.
Abd Latiff berkata, sepanjang Oktober, terdapat 36 program dan aktiviti dijadualkan antaranya program Community Based Disaster-Risk Management (CBDRM), Webinar: Mengenali hazad dan bencana di dalam dan sekitar Malaysia, Forum Iklim Kebangsaan- Monsun Timur Laut 2021/2022 dan Tabletop Exercise (TTX) Pengurusan Bencana Bagi Persediaan Monsun Timur Laut (MTL) 2021/22.
Katanya, kerajaan sentiasa berusaha memastikan koordinasi dan penyelarasan pengurusan bencana dapat diuruskan dengan lebih cekap dan efisyen agar mangsa-mangsa bencana mendapat perlindungan serta bantuan sewajarnya.
“Budaya kesiapsiagaan bukan hanya amalan pada bulan Oktober sahaja tetapi menjadi suatu norma berterusan sehingga kita dapat mencapai community resilience,” katanya. – Malaysiapost

