[PARLIMEN] KERAJAAN akan merujuk semula kepada beberapa pihak termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung status industri penanaman hem bagi tujuan perubatan (medical marijuana).
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ini kerana ia melibatkan beberapa pindaan akta oleh KKM yang telah dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu.
“Benar dalam pentadbiran lalu perkara ini telah dibincang, dibentang dalam mesyuarat Jemaah Menteri, beberapa pandangan dikemukakan, kita telah bekerjasama dengan beberapa pihak antaranya golongan akademik dan swasta untuk melihat potensi industri ini.
“Namun saya harus rujuk semula apakah status perkara ini kerana ia melibatkan beberapa pindaan akta oleh KKM.
“Kita harus melihat dari perspektif lebih besar tentang industri ini diperkembangkan, namun mesti mengikut lunas undang-undang,” katanya menjawab soalan Syed Saddiq Abdul Rahman (Bebas-Muar) ketika sesi penggulungan kementeriannya hari ini.
Syed Saddiq bertanya sama ada kerajaan akan memperhalusi cadangan untuk meluluskan industri penanaman hem bagi tujuan perubatan (medical marijuana) dalam usaha memperhebatkan industri eksport negara.
Menurut Syed Saddiq, perbincangan untuk pembangunan industri itu telah dibincangkan di peringkat akhir pada Februari 2020 sebelum kerajaan PH terdahulu tumbang.
Ia termasuk mesyuarat penyelarasan bagi tujuan dalam negera dan esksport – Malaysiapost

