SURUHANJAYA Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN)
Melaka, berhubung dengan pembubaran DUN penggal ke-14 semalam.
Ia sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.
Datuk Ikmalrudin Ishak berkata Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka berkehendakkan suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.
“Justeru itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut.
Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh pihak SPR,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu hari ini, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan DUN Melaka Yang Ke-14, berkuatkuasa semalam.
Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata Proklamasi Pembubaran DUN akan diwartakan hari ini. – Malaysiapost

