MAJLIS Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) memohon kerajaan melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dapat meneliti semula beberapa dasar penting khususnya membabitkan ekonomi Bumiputera yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Pengerusinya, Abdul Halim Husin, berkata pembabitan ekonomi Bumiputera dari segi perdagangan dan industri adalah terlalu kecil sebagaimana digambarkan kedudukan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Bumiputera dalam dokumen Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB).
“Jelas kebergantungan masyarakat Bumiputera pada pendapatan daripada gaji terlalu tinggi, ini memberi gambaran seolah Bumiputera tidak mempunyai ekonomi yang substantif, hanya sebagai pekerja dan pengguna tetapi bukan pengeluar dan bukan majikan.
“Ini bererti matlamat teras kedua Dasar Ekonomi Baharu (DEB) telah gagal sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, satu tindakan strategi pembangunan ekonomi Bumiputera perlu diadakan supaya ekonomi Malaysia tidak diidentifikasi dan didominasi berasaskan etnik.
Tambahnya, dasar berkaitan pengambilan pekerja asing pasca pandemik juga perlu diberi perhatian kerana ia memberi kesan terhadap peluang pekerjaan rakyat B40 serta peningkatan gaji dan upah.
“Pengecualian sewajarnya dilakukan membabitkan sektor tertentu seperti perladangan dan pembinaan,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Halim turut berpandangan, bahawa kajian teliti perlu dilaksanakan untuk menentukan tahap pendapatan kehidupan wajar (living wage) mengikut negeri yang perlu dicapai menjelang 2025.
“Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 telah menentukan sasaran purata pendapatan kehidupan wajar sebanyak RM5,800 sebulan pada 2030.
“Untuk kesejahteraan rakyat jangka panjang dalam rangka ‘kemakmuran bersama dalam Keluarga Malaysia’, matlamat ini adalah penting dan tidak boleh diambil ringan.
“Kerajaan wajar adakan juga sasaran purata gaji penerima pendapatan kumpulan B40 serta M40 kerana fenomena gaji rendah dan tidak setimpal berlaku pada kedua-dua kumpulan B40 dan M40,” katanya.
Selain itu, MTEM yang mewakili lebih 50 pertubuhan ekonomi Melayu itu turut berharap kerajaan dapat mengkaji semula dasar pelaburan asing (FDI).
“Sememangnya kita perlu menjana pekerjaan sebanyak 350,000 setahun untuk menampung pertumbuhan penduduk, tetapi keperluan ini tidak boleh diselesaikan dengan jalan pintas hanya dengan menerima apa saja FDI yang datang bergolek sebagai contoh berintensifkan buruh, mengakibatkan pencemaran, dengan teknologi dan upah rendah.
“Ini menampakkan undang-undang buruh dan alam sekitar yang longgar dan lemah. Golongan ini memberi pulangan nilai tambah dalam negeri yang rendah dan memberi kesan negatif terhadap alam sekitar yang akan menjadikan negara kita bergantung selama-lamanya pada tenaga pekerja asing,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, banyak aspirasi yang murni dan baik terkandung dalam RMK12, namun ia perlu diterjemahkan kepada sasaran yang jelas.
“Menjadi mandat nasional supaya apa juga mekanisma dan langkah dasar yang akan dirangka dan ditetapkan mempunyai ‘aspek kesahan’ dan wajib dilaksanakan.
“Penting untuk mengukur dan laksanakan pemantauan setiap suku tahun. Melaluinya, permasalahan dan kelemahan strategi dan program boleh dikenal pasti dan diperbaiki, tidak perlu untuk menunggu untuk mengkaji semula pada tempoh pertengahan tahun,” katanya.
Beliau turut berharap kerajaan akan terus melakukan libat urus dengan semua pemegang taruh ekonomi Bumiputera untuk menambah nilai dan menjayakan RMK-12 . – Malaysiapost

