POLIS mengambil keterangan enam individu termasuk aktivis yang mendakwa berlaku kematian dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai di Ipoh, kononnya selepas menerima vaksin Covid-19.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata keterangan aktivis wanita berusia 39 tahun diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan semalam.
Beliau berkata, pihaknya turut merakam percakapan Pengarah Kesihatan Daerah Ulu Kinta, pengetua serta pegawai perubatan yang merawat pelajar terbabit.
Katanya, keluarga pelajar terbabit serta beberapa saksi yang berada di tempat kejadian ketika suspek membuat kenyataan sebagaimana dalam video tular berkenaan turut dirakamkan percakapan.
“Siasatan kes akan disegerakan sebelum merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan selanjutnya.
“Mungkin kita akan mencadangkan untuk pertuduhan ke atas suspek. Suspek juga mengaku ada membuat kenyataan seperti mana dalam video tular berkenaan yang mana sangat jelas kenyataan itu tidak benar.
“Kenyataan suspek dibimbangi mencetuskan ketakutan dalam kalangan penerima vaksin sedangkan kenyataan itu langsung tidak tepat memandangkan dua pelajar terbabit meninggal dunia sebelum divaksin,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kertas siasatan kes itu dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan, selain Seksyen 505(b) kanun sama kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam. – Malaysiapost

