AHLI Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, mencadangkan kerajaan membuat laporan berkala kepada Parlimen mengenai perbelanjaan RM400 bilion untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Presiden Warisan itu, berkata ia memandangkan ia adalah pelan RMK terbesar dalam sejarah negara.
Menurutnya, rancangan pelan ekonomi negara itu juga tidak sepatutnya hanya cantik di atas kertas, namun gagal dalam proses pelaksanaannya, berdasarkan rekod dan pencapaian dalam RMK-11 dan Wawasan 2020 sebelum ini.
“Dari 1971 hingga 2015, kadar pertumbuhan adalah 6.2 peratus setahun, ia turun kepada 2.7 peratus setahun bagi tempoh 2016-2020. Pada 2020 pula, pendapatan negara kasar Malaysia pula adalah 20 peratus di bawah tahap negara maju.
“Ini bukan satu perkembangan yang baik yang boleh kita banggakan,” katanya ketika membahaskan usul RMK-12 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, RMK-11 pula jauh tersasar daripada sasaran sebenar dimana daripada enam pencapaian matlamat disasarkan, hanya satu saja menetapi sasaran, manakala bagi sasaran ekonomi mikro terpilih, hanya dua daripada lapan sasaran ditepati.
“Kadar inflasi yang dinilai daripada kuasa membeli sejak 10 tahun kebelakangan ini meningkat sebanyak 16.7 peratus dan ekuiti korporat rakyat tempatan Bumiputera atau Bumiputera pula menurun kepada 30.7 peratus dan 16.2 peratus.
“Seharusnya setiap sen dan ringgit yang dibelanjakan perlu ada ketelusan dan akauntabiliti. Ia bagi memastikan setiap aktiviti dicadang dan dilaksanakan kelak memberi manfaat sebenar kepada rakyat,” katanya. – Malaysiapost

