Isu Seri Perdana: ‘Tidak masuk akal Muhyiddin heret Najib’ – Zahid

0
1
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi bicara hujah akhir kes rasuah Yayasan Akalbudi.

RM38.5 juta projek menaik taraf Kompleks Seri Perdana

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba melakukan ‘diversion strategy’ berhubung isu kos RM38.5 juta projek menaik taraf Kompleks Seri Perdana di Putrajaya.

Ahmad Zahid berkata, adalah tidak masuk akal apabila Presiden Bersatu itu cuba mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dalam isu berkenaan ketika zaman beliau menjadi Perdana Menteri.

“Ia seolah-olah suatu “diversion strategy” atau strategi untuk memesongkan perhatian rakyat daripada fakta utama yang sedang dipersoalkan secara hebat ketika ini.

“Iaitu kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan PM-8 telah meluluskan perbelanjaan yang besar untuk kediaman rasmi PM pada waktu negara sedang berdepan krisis pandemik Covid-19,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, Muhyiddin mendakwa RM38.5 juta itu termasuk untuk perolehan perabot yang perlu dibuat memandangkan kebanyakan aset perabot di Seri Perdana milik Najib telah dipindah keluar.

“Pertama, bukankah memang menjadi hak PM-6 untuk mengambil barangan peribadinya apabila tidak lagi boleh menduduki kediaman rasmi PM tersebut.

“Sama seperti seorang pekerja yang meninggalkan pejabatnya apabila sudah tidak lagi berkhidmat,” katanya.

Jelas, Ahmad Zahid, Najib hanya mengambil barangan peribadinya dari Kompleks Seri Perdana berdasarkan senarai barangan dibenarkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 18 November 2020 dan ada bukti yang jelas mengenainya.

“Kedua, jika Kompleks Seri Perdana sudah tidak lagi dilengkapi dengan perabot milikan peribadi PM-6, maka bukankah wajar ia digantikan dengan perabot peribadi milik PM yang seterusnya.

“Mengapa perlu menggunakan wang negara yang sepatutnya boleh digunakan untuk membantu rakyat bagi menggantikan perabot peribadi milikan PM-6 (Najib) yang telah tiada,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, Kini persoalan baharu yang perlu dijawab Muhyiddin adalah tindakannya menggantikan perabot peribadi milikan PM-6 di Seri Perdana dengan menggunakan wang negara.

“Rakyat perlukan lebih bantuan, kerajaan PM-8 (Muhyiddin) kata negara sudah tiada wang. Berbelanja untuk perabot kediaman rasmi PM diluluskan dengan begitu cekap dan pantas,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here