7,374 serbuan judi tanpa lesen sejak Januari hingga Ogos lalu

0
1

SEPANJANG Januari hingga 31 Ogos lalu sebanyak 7,374 serbuan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan sindiket perjudian tanpa lesen dengan 7,765 orang tangkapan dibuat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri ll, Jonathan Yassin, berkata pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) memang mengambil perhatian serius terhadap isu perjudian tanpa lesen di negara ini.

Menurutnya, PDRM juga mengambil maklum segala pandangan yang disuarakan pelbagai pihak dan akan melipatgandakan usaha bagi memastikan aktiviti perjudian tanpa lesen dapat dibendung dengan lebih berkesan.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Pelan Pemulihan Negara (PPN) sektor perjudian berlesen yang dikawal oleh Kementerian Kewangan merupakan sektor yang tidak dibenarkan beroperasi.

“Namun sindiket judi tanpa lesen ini tetap meneruskan aktiviti mereka membabitkan cabutan loteri awam yang dijalankan oleh negara luar seperti Singapura, Kemboja dan China,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin mengenai langkah yang diambil kerajaan dalam membanteras kegiatan perjudian tanpa lesen sepanjang PKP.

Menurutnya, antara tindakan lain yang diambil dan dirancang adalah termasuk mengambil tindakan terhadap pemain, penjaga premis dan penganjur loteri awam tanpa lesen dibawah Akta Rumah Judi Terbuka 1997; mengenalpasti individu dan sindiket terbabit dalam loteri awam tanpa lesen dengan mendakwa mereka dibawah undang-undang berkaitan.

“Selain itu, tindakan lebih keras akan diambil mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA)

“PDRM juga meneruskan pemantauan terhadap premis-premis yang pernah diserbu kerana perjudian tanpa lesen dan meningkatkan penguatkuasaan melalui Op Dadu,” katanya.

Jonathan berkata, kerjasama dengan agensi-agensi lain turut dijalankan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi pembatalan lesen perniagaan sekiranya menjalankan kegiatan berkenaan.

“Selain itu kerjasama dengan syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarikat air untuk memotong bekalan air dan elektrik juga dilakukan,” katanya.

Sementara itu, ditanya pandanganya berhubung tambahan jumlah cabutan khas nombor ramalan, beliau meminta perkara itu ditanya kepada Kementerian Kewangan.

“Bagaimanapun pendirian sama ada ia tiada kaitan dengan usaha mengurangkan kes perjudian haram tanpa lesen, saya berpandangan KDN perlu ada kajian lebih mendalam mengenainya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here