Negara rugi RM500b jika tak kembalikan HSR ke Singapura – Najib

0
1

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa amat risau jika kerajaan meneruskan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Johor Bahru seperti diluluskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dahulu.

Najib berkata tidak mengembalikan projek HSR ini dari Bandar Malaysia, Kuala Lumpur ke Singapura akan merugikan negara RM500 bilion bagi jangka masa panjang sekiranya projek KLIA-Johor Baharu ini diteruskan.

“Saya difahamkan kerajaan PN dahulu sebenarnya telah luluskan dalam Kabinet untuk menggantikan projek HSR KL-Singapura dengan KLIA-HSR dengan melantik syarikat KLIA Ekspress dan menggunakan teknologi itu.

“Sebab itu mereka sanggup membayar pampasan RM320 juta kepada Singapura untuk batalkan projek asal supaya kontraktor boleh dilantik terus kerajaan tanpa tender terbuka antarabangsa bersama Singapura.

“Bolehlah beri projek secara terus ke syarikat KLIA Ekspress dimiliki syarikat tertentu sebab ada yang amat sayang pada mereka,” dakwa Ahli Parlimen Pekan itu.

Pada 31 Disember 2020, Malaysia-Singapura membatalkan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura, selepas gagal mencapai kata putus susulan tempoh penangguhan yang berakhir semalam.

Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam kenyataan bersama memaklumkan, berikutan penamatan perjanjian HSR itu, kedua-dua negara akur dan patuh kepada tanggungjawab masing-masing

Najib berkata antara digariskan dalam kertas cadangan kerajaan PN dan diluluskan pada akhir tahun 2020 termasuk kos projek HSR KLIA-JB adalah antara RM63 bilion hingga RM65 bilion.

Katanya, ia tidak jauh berbeza berbanding kos asal KL-Singapura sebanyak RM60 bilion hingga RM68 bilion sebab kos terbesar projek ini sebenarnya adalah kos pengambilan tanah.

Selain itu, katanya, jumlah penumpang setahun bagi HSR KLIA-JB ke 4.2 juta setahun menjelang tahun 2031 berbanding 8.4 juta penumpang setahun bagi HSR KL-Singapura.

Pada masa sama, beliau berkata, jumlah pendapatan bagi HSR KLIA-JB adalah jauh lebih rendah berbanding rancangan asal akibat penurunan permintaan penumpang.

“Pampasan dan subsidi melebihi RM10 bilion dirancang akan dibayar kepada syarikat kontraktor dan operator akibat kerugian yang akan berlaku akibat pendapatan projek yang jauh lebih rendah.

“Kelajuan kereta api juga dirancang lebih perlahan berbanding projek HSR asal.

“Selain projek tidak lagi menjadi berdaya maju dan kerajaan terpaksa menampung kerugian berpuluh tahun lamanya, projek Bandar Malaysia dengan nilai GDV sebanyak RM140 bilion juga tidak kesampaian,” katanya.

Sehubungan itu, kata Najib, adalah satu kesilapan yang amat besar sekiranya HSR hanya dibuat dari KLIA ke Johor Baharu.

Beliau seterusnya mencabar pimpinan kerajaan PN terdahulu mendedahkan kertas cadangan akhir tahun 2020 untuk menggantikan HSR KL-Singapura dengan KLIA-Johor Baharu yang telah pun dibentang dalam Kabinet masa lalu.

Pembinaan projek HSR sudah dua kali ditangguhkan sejak perjanjian dua hala Malaysia dan Singapura dimeterai pada Disember 2016.

Penangguhan kali pertama sehingga Mei lalu menyaksikan Malaysia membayar kos penangguhan sebanyak RM45 juta kepada republik berkenaan.

Kos keseluruhan asal pembinaan HSR untuk laluan sepanjang 350 kilometer dianggarkan menelan belanja RM110 bilion. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here