VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyifatkan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said layak dilantik sebagai Peguam Negara.
Beliau berkata, ini bagi memastikan negara boleh berubah kepada pemisahan peranan Peguam Negara (sebagai anggota Jemaah Menteri dan penasihat undang-undang Kerajaan) dengan peranan Pendakwa Raya.
“Ketegasan Azalina mempertahankan kemuliaan Dewan Rakyat kerana digantung semasa Darurat membuktikan dirinya sebagai seorang yang berprinsip tegas.
“Azalina meletakkan jawatan Timbalan Speaker kerana tidak mahu berhadapan dengan percanggahan kepentingan dalam kedudukannya sebagai seorang ahli Majlis Tertinggi Umno. Dua tindakan yang tegas pada prinsip,” katanya menerusi Facebook.
Mengulas lanjut, Shahrir berkata, ramai Ahli Parlimen termasuk menteri ketika berucap dalam Dewan Rakyat akan mengguna ungkapan “Dewan yang mulia”.
Katanya, hakikatnya mereka tidak berpegang kepada kata-kata itu dan hanya berdiam diri apabila Parlimen digantung atau ‘dimandulkan’ oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Mereka lebih sayang kepada nikmat duniawi yang datang bersama jawatan dan kedudukan. Parlimen tidak dianggap sebagai institusi penting dalam sistem Demokrasi Berparlimen,” katanya.
Dalam pada itu, Shahrir menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil tindakan berani dengan melantik Azalina sebagai sebagai Penasihat Khas Undang-undang dan Hak Asasi Manusia.
“Ini kerana Azalina seorang yang mengambil serious apa sahaja peranan yang diberikan kepadanya.
“Bagi saya, Azalina layak sangat dilantik sebagai Peguam Negara,” katanya.
Terdahulu, Azalina menerusi Facebooknya memaklumkan beliau dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia).
Azalina berkata, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas kepercayaan berkenaan. – Malaysiapost

