AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, menyelar tindakan pihak tertentu yang menyalahkan
bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung isu kos baik pulih dan ubah suai Seri Perdana.
Menurutnya, terdapat laman Facebook menggunakan akaun bernama ‘Otai’ yang menyebarkan fitnah terhadap Ahli Parlimen Pekan berkenaan berhubung isu terbabit.
Beliau mendakwa perkara itu didalangi pihak daripada Perikatan Nasional (PN) bagi mempertahankan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meluluskan dana RM38.5 juta untuk projek berkenaan ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
“Page ‘Otai’ adalah pencacai PN. Otai turut tumpang ‘semangkuk’ pertahankan Muhyiddin kerana belanja RM38.5 Juta untuk baik pulih Seri Perdana.
“Otai tular gambar air bertakung di lantai Seri Perdana. Itu gambar bulan November 2020 akibat hujan lebat. Hujan lebat punya pasal Najib juga yang salah? Najib tidak duduk situ sejak 2018,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Mohd Puad berkata, semua Perdana Menteri yang pernah duduk di Seri Perdana semestinya ada perabot peribadi termasuklah Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Tun M atau Pak Lah sudah pasti bila keluar dari Seri Perdana, akan bawa keluar perabot milik mereka.
“Baik Menteri atau Pegawai tinggi Kerajaan yang tinggal di kuarters kerajaan sudah tentu akan beli perabot tambahan. Apakah perabot itu akan ditinggalkan secara percuma?” katanya.
Beliau turut mencabar agar Muhyiddin mendedahkan kos pembelian perabot ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
“Kalau Muhyiddin ‘gentleman’ dedahkanlah kos beli perabot baru. Umumkan juga siapa kontraktornya. Tender terhad atau ‘direct nego’,” cabarnya. – Malaysiapost

