PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan akan memperbanyakkan sistem sokongan kepada warga emas bagi memastikan keperluan golongan itu terus terpelihara.
Beliau berkata, Malaysia dijangka menjadi sebuah negara tua pada 2030, iaitu apabila sebanyak 15 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia berumur 60 tahun dan ke atas.
“Sehingga hari ini, sebanyak 140 Pusat Warga Emas telah diwujudkan, dan kerajaan merancang untuk memperluas usaha ini ke seluruh kawasan Parlimen selaras dengan konsep Keluarga Malaysia,” katanya menerusi Facebook.
Ismail Sabri berkata, Malaysia juga akan mewujudkan lebih banyak bandar mesra warga emas pada masa akan datang.
“Sistem Pendaftaran Warga Emas Nasional akan ditambah baik dan liputannya diperluas. ‘Kesaksamaan Digital Merentasi Usia’,” katanya.
Dalam hantaran sama, Perdana Menteri turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Warga Emas kepada semua warga emas di seluruh Malaysia. – Malaysiapost

