JENAZAH ibu kepada pelawak popular, Allahyarham Abam Bocey dan Ali Puteh iaitu Sabariah Arshad, 64, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
Sebelum itu Jenazah tiba di Masjid Gombak Utara (Zakaria) pada jam 9 pagi untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.
Lebih 50 orang hadir di masjid berkenaan untuk memberikan penghormatan terakhir termasuk ahli keluarga dan rakan rapat.
Sabariah meninggal dunia akibat serangan asma dan komplikasi pelbagai penyakit di Hospital Selayang, jam 11.54 malam tadi.
Sebelum ini, Allahyarham diserang penyakit asma dan dimasukkan ke zon kritikal (zon merah) hospital berkenaan pada Selasa lalu.
Difahamkan, Sabariah juga telah ditidurkan dan menggunakan alat bantuan pernafasan.
Sementara itu, Abam atau nama penuhnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan meninggal dunia di kediamannya di Gombak, dipercayai akibat demam panas pada 10 Februari 2020. – Malaysiapost

