33 kematian akibat karacunan metanol sejak 9 September

0
2
PUTRAJAYA, 19 Jan -- Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. Sebanyak 3,631 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan setakat hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes yang positif di negara ini sebanyak 165,371 kes manakala sebanyak 2,944 kes telah sembuh dan terdapat 14 kes kematian akibat jangkitan itu direkodkan hari ini dengan jumlah kumulatif kematian sebanyak 619 kes. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEBANYAK 55 notifikasi kes keracunan metanol membabitkan tujuh negeri dilaporkan kepada Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan (KKM) sejak 9 sehingga 30 September.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negeri terbabit adalah Selangor yang mencatatkan 25 kes, Perak (13), Pahang (5), Pulau Pinang (6), Kuala Lumpur (4) serta masing-masing satu kes di Johor dan Negeri Sembilan.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 26 kes iaitu 47 peratus terdiri warganegara Malaysia manakala selebihnya bukan warganegara.

“Secara kumulatif sejumlah 33 kes kematian telah dilaporkan menjadikan kadar serangan (Case Fatality Rate: CFR) sebanyak 60 peratus.

“Daripada jumlah kematian yang dilaporkan, 18 kes (55 peratus) melibatkan warga Malaysia manakala 15 kes bukan warganegara iaitu tujuh Myanmar, lima India dan tiga warganegara Nepal.

“Sebanyak tujuh kes telah discaj dari hospital manakala 15 kes lagi masih menerima rawatan iaitu 12 kes kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiga kes tidak kritikal yang dirawat di wad,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan keracunan metanol berlaku apabila minuman beralkohol yang diminum mengandungi metanol dalam dos yang toksik.

Jelasnya, metanol boleh hadir dalam kuantiti yang toksik akibat proses distilasi minuman beralkohol yang tidak sempurna atau metanol dicampur ke dalam minuman beralkohol sebelum diminum.

“Keracunan metanol juga biasanya dikaitkan dengan minuman beralkohol yang dikilang secara tidak sah, kerana kebiasaanya metanol dicampur ke dalam minuman tersebut sebagai pengganti etanol.

“Ini kerana harga metanol yang secara relatif lebih murah berbanding etanol. Gejala keracunan metanol adalah seperti sakit perut, loya, muntah, sakit kepala dan kabur penglihatan dalam tempoh lima hari pengambilan minuman beralkohol,” katanya.

Sehubungan itu, KKM ingin menasihatkan kepada orang awam untuk segera membawa mana-mana individu yang mempunyai gejala keracunan metanol ke mana-mana klinik atau hospital yang terdekat bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

“KKM ingin menasihati pengguna untuk tidak meminum sebarang minuman beralkohol yang dikhuatiri tercemar dengan metanol.

“Pengguna hendaklah memastikan minuman yang dibeli mempunyai label yang mengandungi maklumat mengenai pengeluar, pengedar atau pengimport dan juga ramuan minuman beralkohol tersebut,” katanya.

Tambahnya, pengguna juga perlu mengelakkan daripada mengambil minuman beralkohol yang dihasilkan sendiri (home-brewed) dan yang dijual dengan harga yang murah atau yang meragukan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here