PENGORBANAN seorang suami yang terpaksa menjaga isterinya yang terlantar akibat kanser payu dara dan anak bongsu berusia setahun yang menghadapi masalah jantung, mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Menerusi perkongsian di Facebook LZS, memaklumkan Operasi Agihan Daerah Sepang bersama Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor termasuk Penolong Amil Kariah mengambil tindakan segera menghulurkan bantuan kepada keluarga tersebut.
Menurutnya, lelaki itu mengambil cuti tanpa gaji kerana perlu menguruskan isteri yang terlantar sakit akibat kanser payudara.
“Sel kanser kini semakin merebak sehingga ke bahagian tulang dan menyebabkan tulang kaki dan pinggul serta tulang belakang isterinya menjadi rapuh.
“Pasangan bahagia ini dikurniakan dua orang anak lelaki, yang sulung Alhamdulillah sihat, manakala anak kedua berusia satu tahun lebih disahkan menghidap masalah jantung (injab terbalik, injab tersumbat dan bocor).
“Pada usia sebulan selepas kelahiran, anak kecilnya telah menjalani pembedahan di bahagian jantung serta menggunakan saluran paip yang ditanam dari bahagian kepala hingga ke perut bagi mengalirkan air dari otak kerana terdapat lebihan cecair yang boleh memudharatkan sekiranya dibiarkan,” katanya.
Sehubungan itu, LSZ tampil menghulurkan bantuan berupa keperluan perubatan untuk isteri dan anaknya, bagi meringankan beban keluarga itu.
Katanya, pengorbanan seorang suami dan bapa dapat dilihat dengan layanan dan kesabaran yang ditunjukkan kepada keluarganya meskipun terhimpit dengan pelbagai masalah sekali gus memberikan motivasi.
LZS berkata, lelaki berkenaan berusaha sedaya upaya menyediakan semua keperluan bagi isteri dan anak-anaknya.
“Dalam situasi perlu membayar rumah sewa serta komitmen lain, beliau juga perlu membawa isteri dan anaknya untuk rawatan berkala di hospital serta perlu menguruskan rumahtangga menyebabkannya mengambil cuti tanpa gaji buat sementara waktu.
“Beliau perlu menyusun semua rutin agar tidak berlaku pengabaian dan sentiasa memastikan anak dan isterinya terjaga dan terurus dengan baik.
“Inilah pengorbanan seorang suami dan juga ayah dalam menjalani ujian dalam kehidupan. Pengorbanan ini tanda kasih sayang keluarga bahagia mereka. Senyuman isteri, tawa anak yang kecil serta kelembutan suami sebagai ayah buat keluarga sangat memberikan motivasi buat kami yang menziarahi mereka,” katanya.
Selain itu, LZS turut mendaftarkan keluarga berkenaan dibawah asnaf miskin agar bantuan yang lain dapat disalurkan dengan menyeluruh.
“Pihak Masjid Kariah juga mengambil inisiatif untuk memantau keperluan keluarga ini dari masa ke semasa.
“Jadi, marilah sama-sama kita doakan semoga Allah kurniakan kesembuhan buat isteri dan anak ini serta dipermudahkan urusan ayah menguruskan semuanya.
“Bersama kami membantu mustahiq, sedikit bagi anda segalanya buat mereka,” katanya. – Malaysiapost

