998 kawasan di Lembah Klang bakal alami gangguan bekalan mulai 13 Oktober

0
1

PENDUDUK di sekitar Lembah Klang bakal mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 13 Oktober dan dijangka akan pulih sepenuhnya pada 16 Oktober 2021.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan mengenai pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal yang akan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1.

Menurutnya, pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan itu bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di 998 kawasan yang terlibat.

“Pelaksanaan kerja-kerja ini bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di 998 kawasan di Wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor bermula jam 9 pagi, 13 Oktober 2021 dan dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 9 malam, 16 Oktober 2021.

“Senarai kawasan yang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual boleh didapati di laman pautan hentitugas.airselangor.com,” kata kenyataan itu hari ini.

Air Selangor berkata, pelaksanaan kerja-kerja tersebut telah tertangguh daripada jadual asal iaitu pada tahun 2019 dan 2020 berikutan insiden pencemaran air yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar.

Katanya, pelaksanaan kerja-kerja itu telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menaiktaraf sistem bekalan air demi keselesaan para pengguna pada masa hadapan.

“Justeru itu, Air Selangor ingin menasihatkan para pelanggan yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.

“Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300,” katanya.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here