[PARLIMEN] Sidang Dewan Rakyat hari ini panas seketika ketika seorang penyokong pembangkang mencelah perbahasan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang menyentuh mengenai Akta Dana Politik.
Kekecohan bermula apabila Khoo Poay Tiong dari DAP mempersoalkan kenyataan Ahmad yang mendakwa menjadi mangsa ketiadaan akta berkenaan.
Dalam ucapannya, Ahmad berkata: “Saya adalah mangsa kerana dana politik tidak diaktakan, mujurlah semalam saya dilepas dan dibebaskan, tapi kena bayar kompaun.”
Poay Tiong kemudian bangun dan meminta penjelasan Ahmad: “Kalau Pontian ialah mangsa, kenapa bayar kompaun RM1.1 juta?
Ahmad yang juga Setiausaha Agung Umno kemudian menjelaskan beliau pertama kali ditawarkan kompaun pada Oktober 2019 namun mengambil keputusan untuk ‘lawan’.
“Saya lawan sebab ada yang saya terima RM50,000, dikompaun 50 kali ganda oleh SPRM (Surunjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), saya rasa YB Langkawi (Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad) juga tak tahu perkara ini.
“Macam mana 50 kali ganda kompaun? Ada orang yang terima RM100,000 dikomapaun 25 kali ganda, jadi saya lawan pada ketika itu, tapi saya lihat lambat betul proses, (maka) saya mengaku kepada SPRM saya terima 1.1 (juta), saya tak mengaku saya terima 2.
“(Kemudian Mahkamah) Tanya kepada orang yang bagi (wang) iaitu YB Pekan (Datuk Seri Najib Razak) yang mengesahkan saya terima 1.1. Oleh kerana saya telah membayar (kompaun) maka saya lepas dan bebas, itu keputusan mahkamah yang patut kita hormati,” katanya.
Bagaimanapun Poay Tiong masih tidak berpuas hati dan terus mengasak Ahmad dengan berkata: “Kamu mengaku dapat wang, mana wang itu datang?
Speaker, Datuk Azhar Azizan Harun kemudian terpaksa campur tangan dan meminta Poay Tiong supaya duduk.
“Kota Melaka tolonglah… saya beri amaran pertama,” katanya lalu Poay Tiong diam.
Ahmad kemudian menambah, susulan kes dihadapinya, beliau mengsyorkan Akta Dana Politik dilaksanakan dalam penggal ini seperti disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini bahawa ia akan diperkenalkan. – Malaysiapost
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam melepas dan membebaskan Ahmad atas dua pertuduhan iaitu gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada Najib dan memberi pernyataan palsu kepada SPRM.
Ahli Parlimen Pontian itu dilepas dan dibebaskan daripada dua pertuduhan terhadapnya setelah beliau membayar kompaun mengikut Seksyen 92(1) (AMLATFPUAA 2001).
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah untuk menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Pontian itu berikutan tertuduh bersetuju untuk membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta. – Malaysiapost

