‘RM38.5 juta baiki rumah PM memang melampau’ – Syed Saddiq

0
1

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menyifatkan projek menaik taraf Kompleks Seri Perdana yang mencecah kos sehingga RM38.5 juta sebagai ‘ketirisan paling jelas’ kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, sekiranya benar kediaman rasmi Perdana Menteri itu perlu ditambahbaik ia tidak sepatutnya membabitkan angka yang begitu besar.

“Nak baiki, baiki lah. Tapi perlu ke belanja sampai RM38.5 juta? Ini adalah ketirisan paling jelas dalam Kerajaan Perikatan Nasional. Kos ini diluluskan pada 19 Mac 2021.

“Waktu lulus ni, tak fikir rakyat ke? Kita hari-hari sebut, rakyat sedang susah, lapar dan sakit. Nak belanja makan minum kena jimat. Ada yang kena buang kerja, kena potong gaji,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, penjawat awam juga turut memberi sumbangan gaji untuk membantu negara melawan Covid-19.

“Nak jaga imej negara, tak perlu belanja sampai RM38.5 juta. Kalau pemimpin bijak, boleh jaga rakyat, boleh jaga negara itu dah cukup untuk imej negara.

“Kita pernah tahu ke kediaman rasmi Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern yang mengeluarkan New Zealand dari wabak pandemik?

“Atau kediaman rasmi Presiden Taiwan, Tsai Ing-Wen yang dua kali berjaya mematahkan penularan Covid-19?,” soalnya.

Jelas Syed Saddiq lagi, angka RM38.5 juta itu terlalu melampau serta boleh disalurkan untuk membantu ‘frontliners’ di luar kawasan Lembah Klang atau bantu baik pulih sekolah luar bandar, serta sediakan projek perumahan rakyat termiskin.

“RM38.5 juta ini dah dianggap boleh bina lagi beberapa kediaman rasmi, tapi ini guna untuk baik pulih sahaja?

“Ketirisan luar biasa yang dilakukan terang-terangan oleh Kerajaan Perikatan Nasional,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad memgesahkan kos keseluruhan projek menaik taraf Kompleks Seri Perdana adalah RM38.5 juta bukannya RM30 juta yang diwar-warkan sebelum ini.

Dalam kenyataan beliau dilaporkan berkata, kerja-kerja membaik pulih dengan kos sebanyak itu termasuklah penggantian sistem pendawaian elektrikal dan kebocoran atap Kompleks Seri Perdana. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here