[PARLIMEN] YANG Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengingatkan Ahli Parlimen supaya tidak meleret-lerat ketika bertanyakan soalan dalam sesi soal jawab lisan, hari ini.
Arahan itu dikeluarkan Azhar Azizan susulan tindakan beberapa Ahli Parlimen yang meleret-leret ketika bertanya soalan sehingga membuang masa persidangan.
Dalam teguran itu, Azizan Harun mengingatkan Ahli Parlimen supaya ‘mengurangkan bunga dan memperbanyakkan buah’.
Beliau juga menyifatkan ada Ahli Parlimen yang membangkitkan pertanyaan tersasar daripada isu atau soalan yang sedang dijawab oleh menteri serta timbalan menteri.
Terdahulu, Azhar menegur Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang mengajukan soalan tidak berkenaan dengan isu dijawab Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Eddin Syazlee Shith.
Ketika itu, Eddin Syazlee menjawab pertanyaan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) mengenai langkah kerajaan untuk terus memberdaya inisiatif digitalisasi ekonomi sebagai kesinambungan kepada fasa reformasi dalam ekonomi negara.
Hassan ketika itu membangkitkan soalan mengenai sistem digital e-lelong mengakibatkan kerugian kepada lebih 2,000 pelelong berlesan di seluruh negara akibat kesan teknologi.
Azhar berkata, soalan yang ditanya oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang itu tidak ada kena mengena dengan soalan asal.
“Pasir Gudang, saya rasa soalan itu tak berkenaan dengan soalan yang original (asal).” katanya.
Kemudian, Azhar mengarahkan supaya Eddin Syazlee mengemukakan jawapan bertulis kepada Hassan.
Azhar juga memuji cara Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup mengendalikan soal jawab ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan kerana dilakukan secara ringkas dan padat. – Malaysiapost

