Kompaun terhadap Ahmad Maslan satu bentuk pemulangan aset – SPRM

0
1

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan kompaun RM1.1 juta dikenakan ke atas Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan merupakan tindakan punitif terhadap mana-mana individu yang terlibat dan merupakan satu bentuk pemulangan aset.

SPRM dalam kenyataan berkata, Ahmad dibebaskan dengan dua pertuduhan terhadapnya selepas membayar kompaun mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

Katanya, sebelum ini Setiausaha Agung Umno itu pernah ditawarkan kompaun tersebut pada Oktober 2019 namun memilih untuk dibicarakan di mahkamah pada ketika itu.

“Sehubungan itu, beliau dituduh dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) dan Seksyen 32(8)(c) AMLATFPUAA 2001 pada 20 Januari 2020.

“Semasa tempoh perbicaraan berjalan, beliau telah mengemukakan representasi dan bersetuju kembali untuk membayar kompaun tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini telah melepas dan membebaskan Ahmad atas dua pertuduhan iaitu gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan memberi pernyataan palsu kepada SPRM.

Ahli Parlimen Pontian itu dilepas dan dibebaskan daripada dua pertuduhan terhadapnya setelah beliau membayar kompaun mengikut Seksyen 92(1) (AMLATFPUAA 2001).

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah untuk menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Pontian itu berikutan tertuduh bersetuju untuk membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta semalam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here