Azalina cadang wujudkan Majlis Pemulihan peringkat daerah

0
1
Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman. Malaysiapost/Sharifudin Abdul Rahim

[PARLIMEN] KERAJAAN digesa melaksanakan perancangan pemulihan bencana Covid-19 secara komprehensif, lengkap dan menyeluruh seperti dibentangkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata beliau percaya segala pendekatan dan cadangan yang dibuat kerajaan dalam RMK12 adalah ikhlas, namun berharap ia bukan hanya sekadar ‘menanam tebu di bibir’.

Beliau berkata, berhadapan Covid-19 iaitu bencana yang luar biasa, pendekatan kerajaan harus berubah dan tidak lagi hanya secara berpusat atau ‘Putrajaya tahu semuanya’.

“Tidak boleh ‘Putrajaya’ menganggap mereka tahu segala-galanya, perlu mengambil pendekatan inklusif.

“Perlu setiap Ahli Parlimen memainkan peranan tidak kira daripada parti politik mana untuk membantu kerajaan menyelesaikan masalah dari segi perancangan pemulihan bencana ini secara komprehensif, lengkap dan menyeluruh,” katanya ketika membahaskan RMK12 hari ini.

Beliau turut mencadangkan supaya diwujudkan Majlis Pemulihan peringkat daerah dengan peranannya dimainkan Ahli Parlimen secara positif.

“Saya ucap tahniah kerana kerajaan mewujudkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan difahamkan akan mewujudkan peringkat negeri juga.

“Saya cadangkan supaya wujudkan juga di peringkat daerah dan peranannya dimainkan secara positif oleh setiap Ahli Parlimen dalam Majlis Pemulihan dalam kawasan Parlimen masing-masing,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here