POLIS mengesan beberapa saksi bagi membantu siasatan berhubung kes pertukaran hak milik lot tanah di tengah ibu kota bernilai lebih RM7 juta milik dua beradik wanita.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, hasil siasatan yang dilakukan telah membawa kepada beberapa tangkapan.
“Kami sedang melakukan siasatan lanjut bagi mendapatkan pengesahan daripada Pejabat Tanah berkaitan dokumen-dokumen digunakan bagi transaksi (pemindahan hak milik) berkenaan.
“Pada masa sama, kami juga sedang mengesan beberapa saksi lagi untuk menyiasat bagaimana penipuan itu berlaku,” katanya pada sidang media di Balai Polis Jinjang dipetik Harian Metro, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan dua beradik berusia 50-an itu terkejut apabila mendapati tanah milik mereka berpindah milik kepada sebuah syarikat tanpa pengetahuan mereka.
Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi pada 12 Ogos lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, polis telah menahan lima individu termasuk peguam bagi membantu siasatan.
Pembeli lot tanah itu, Syarikat RMS mendakwa membelinya mengikut peraturan dan lunas undang-undang yang ditetapkan. – Malaysiapost

