POLIS menahan empat individu berusia antara 19 hingga 50 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian rusuhan sehingga mengakibatkan anggota polis yang bertugas diserang di Cheras, hari ini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzham Jaafar, berkata rusuhan berlaku ketika operasi yang dijalankan oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTG) Kuala Lumpur membina pagar penghadang ‘hoarding’ bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sekolah yang terletak bersebelahan di sebuah tokong.
Katanya, kejadian rusuhan itu berlaku kira-kira jam 11.45 pagi hingga jam 4 petang.
“Di dalam operasi tersebut anggota polis IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Cheras telah hadir ke lokasi bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi yang dijalankan.
“Semasa operasi sedang dijalankan, terdapat lebih kurang 30 orang lelaki dan perempuan membawa kayu dan besi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Muhammad Idzham, kumpulan itu telah bertindak menghalang dan memecahkan jentolak selain menyerang anggota polis yang bertugas di tempat kejadian.
“Mereka yang ditahan akan disiasat disiasat di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.
Muhammad Idzham juga menegaskan, pihak polis menafikan terdapat tindakan untuk merobohkan mana-mana tokong dalam kejadian tersebut.
Satu video yang memaparkan rusuhan itu telah tular di Facebook hari ini yang dipercayai bagi tujuan meraih simpati dan dieksploitasi.
“Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan menggugat ketenteraman awam.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu siasatan,” katanya. – Malaysiapost

