
PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan istilah Kluster Mahkamah direka oleh pasukan propaganda sebagai usaha berterusan memburuk-burukkan sebilangan pimpinan parti itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Bagaimana, beliau berkata, pemimpin politik yang menggunakan propaganda itu telah mencipta watak pembunuh (character assassination) dalam karier mereka.
“Ia kerana pemimpin terbabit menyaksikan sebilangan besar rakyat mula hilang keyakinan terhadap parti politik yang didokong mereka dan kembali menaruh harapan kepada Umno.
“Namun mereka buat-buat lupa bagaimana sebahagian daripada pemimpin parti politik mereka menyelamatkan diri daripada momokan Kluster Mahkamah.
“Mereka ini terlepas daripada momokan Kluster Mahkamah dengan meninggalkan perjuangan parti dan melompat kepada parti yang menang PRU14,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, hanya pimpinan Umno yang berani dan setia kepada perjuangan parti sanggup bertahan dan menentang walaupun dilabel sebagai Kluster Mahkamah.
“Justeru mereka yang lompat parti sebenarnya tiada ‘moral standing’ untuk memberi pandangan terhadap individu yang konon mereka gelar sebagai Kluster Mahkamah.
“Dengan itu adalah wajar mereka menginsafi tingkah laku kerana rakyat zaman ini hidup di zaman bermaklumat yang mengerti apa yang berlaku,” katanya- Malaysiapost
