KERAJAAN perlu menangguhkan dan meneliti semula perlaksanaan projek-projek mega dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, tiada gunanya kerajaan kerajaan meneruskan projek mega sedangkan majoriti rakyat hidup dalam kesempitan.
“Parlimen ini harus beri tumpuan sepenuhnya untuk menuntut supaya RMK12 ini berikan tumpuan kepada Bumiputera.
“Kalau perlu, tangguhkan projek-projek besar seperti pembinaan lapangan terbang, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan teliti semula projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3).
“Apa faedah kita nak teruskan projek mega dalam keadaan orang kelaparan, menganggur dan pendidikan tidak bermutu yang ada sekarang. Tangguh projek-projek besar… apa guna teruskan projek kalau orang tidak cukup makan,” katanya.
Beliau berucap dalam sesi perbahasan pembentangan RMK12 dalam Sidang Dewan Rakyat, di Parlimen, hari ini.
Menurutnya, tumpuan seharusnya diberikan dalam meningkatkan mutu hidup rakyat yang terhimpit.
“Apa salahnya kalau kita tumpukan latihan, mutu kesihatan awam, pendidikan kepada golongan miskin desa dan bandar selain beri keutamaan kepada Bumiputera.
“Kita tidak peduli peruntukan soal syarikat berkaitan kerajaan (GLC), soal kontrak, yang mahu melahirkan ramai jutawan kerana ramai lagi, berjuta-juta Bumiputera ini yang harus diberikan perhatian,” katanya. – Malaysiapost

