Kerajaan, PH jumpa setiap 2 minggu

0
1

MESYUARAT Jawatankuasa Pemandu Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) akan diadakan setiap dua minggu.

Menteri Wilayah Persekutuan yang mewakili blok kerajaan berkata ia membolehkan kedua-dua pihak duduk semeja lebih kerap bagi memastikan Pelan Transformasi dan Kestabilan Politik berjalan lancar.

“Selaras dengan janji kerajaan, kami akan duduk semeja dengan wakil-wakil daripada PH setiap dua minggu bagi memastikan Pelan Transformasi dan Kestabilan Politik berjalan lancar.

“Ia untuk membincangkan isu-isu seperti transformasi pentadbiran dan pembaharuan Parlimen,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Semalam, kedua-dua pihak mengadakan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pemandu MoU berkenaan di Putrajaya, antara lain membincangkan sebahagian besar daripada 18 perkara termaktub dalam perjanjian itu.

Selain Annuar, antara wakil kerajaan yang hadir ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz

Sementara itu, blok pembangkang diwakili Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil; Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here