
TUJUH lokaliti di Pahang dan Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Rabu ini hingga 12 Oktober depan.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad berkata arahan membabitkan empat perkampungan Orang Asli di Tanjung Rambutan, Kinta dikenakan iaitu di Kampung Bakok, Kampung Jambu, Kampung Lalang dan Kampung Dollah.
Beliau berkata, di Pahang pula lokaliti dikenakan PKPD ialah tiga rancangan FELDA di Bera iaitu FELDA Rentam, FELDA Tementi dan FELDA Sebertak.
“Selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko, MKN memutuskan mengenakan PKPD di semua lokaliti berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
MKN turut memutuskan menamatkan PKPD di Kampung Orang Asli Sungai Gangai, Mukim Slim, Perak serta di Kampung Tamalian, Raub dan Kampung Paya Pelong, Temerloh, Pahang.
“Selain itu, turut ditamatkan ialah Kampung Warisan di Kota Kinabalu; Rumah Pangsa Tanjung Aru; Kampung Rugading, Kota Marudu; Kilang Fu Yee di Kalabakan,” katanya. – Malaysiapost
