Restoran asam pedas sedia tunggu kunjungan pelancong domestik ke Melaka

0
2

Nurul Huda Abhar

PENGUSAHA kedai makan dan restoran di Melaka bersedia sepenuhnya jika kerajaan memberi kelonggaran rentas negeri atau membenarkan kemasukan pelancong domestik ke negeri itu pada bila-bila masa.

Bagi pihak pengurusan Restoran Asam Pedas Pak Man di Kompleks Niaga Melaka Perdana dekat Bukit Katil, persediaan dari segi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah lama dibuat bagi melancarkan urusan pembukaan restoran.

Menurut Erni Yuslinah Abdul Rahman yang juga pengurus Restoran Asam Pedas Pak Man, cadangan membenarkan kemasukan pelancong domestik ke Melaka bermula 1 Oktober memberi sinar baharu kepada penggiat industri pelancongan di negeri bersejarah itu.

“Kami memang berharap sangat jika sektor pelancongan di Melaka beroperasi semula. Jadi kita risau jika tidak buat persediaan awal akan jadi kelam kabut.

“Bila dengar tidak jadi dibuka pada 1 Oktober sedikit kecewa, tetapi akur dengan arahan kerajaan. Ini semua bagi keselamatan bersama. Jika Melaka capai 90 peratus vaksinasi maka semua pihak boleh bergerak dan berurusan dengan lebih yakin,” katanya kepada Malaysiapost.

Erni Yuslinah berkata, pekerja di restorannya semua telah lengkap menerima vaksinasi dan memanggil kembali pekerja yang telah dicutikan sebelum ini ketika ‘dine in’ masih belum dibenarkan.

Selain itu, katanya, susunan meja dan ruangan makan dalam restoran juga mengikut SOP ditetapkan MKN untuk memberi keselesaan kepada pengunjung yang datang menjamu selera.

“Dari segi persediaan tempat juga kami sudah buat. Bahagian atas bangunan juga sudah bersedia untuk pelanggan yang datang. Kerana kami sangat jaga SOP untuk sebarang kemungkinan.

“Pekerja tetap kami semua sudah lengkap vaksinasi kerana kedai pun telah buka untuk ‘dine in,” ujarnya.

Biarpun peniagaan sedikit merosot semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan rentas negeri, namun itu tidak mematahkan semangat Restoran Asam Pedas Pak Man untuk memberi layanan terbaik kepada pelanggan yang hadir untuk menikmati menu istimewa itu.

“Semasa pelaksanaan larangan rentas negeri memang perniagaan merosot. Asam Pedas Pak Man ini sememangnya dikenali dan kerap dikunjungi oleh pelanggan dari luar Melaka,” ujarnya.

Katanya, apabila kerajaan membuka semula Melaka kepada pelancong, mereka yang merindui lauk asam pedas usah ragu-ragu untuk singgah ke Restoran Asam Pedas Pak Man kerana keselamatan pelanggan menjadi keutamaan.

“Kami sediakan ‘checkpoint’, untuk pemeriksaan vaksin setiap pelanggan. Jarak fizikal antara meja dan tempat duduk semua kami praktikkan. Kami kini hanya menunggu kedatangan pengunjung bila rentas negeri dibenarkan,” katanya.

Terdahulu, kerajaan Melaka bersetuju membuka gelembung pelancongan negeri pada 1 Oktober sebelum mengambil keputusan menangguhkannya sehingga kadar vaksinasi negara mencapai 90 peratus seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here